Pages

Sunday, June 19, 2011

Pengemis dan Isteri Cantik

Di sebuah pekan, tinggal sepasang suami isteri yang kaya raya. Si suami merupakan ahli perniagaan yang berjaya lagi terkenal. Beliau juga sangat bangga kerana dapat mengahwini seorang wanita yang cantik rupawan. Pada suatu hari, ketika pasangan itu sedang menikmati juadah makanan, datang seorang pengemis yang berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka.

''Tolonglah encik, saya lapar, Sejak semalam lagi saya tidak menjamah sesuap nasi pun,''ujar pengemis itu meraih simpati. Dengan muka yang bengis si suami mengusir dan menengking si pengemis itu. ''Pergi! Pergi!'' Disini bukan tempat kebajikan masyarakat. Halau si suami dengan sombongnya.

Dalam hatinya berkata, ''Aku membina perniagaan sehingga berjaya bukan untuk orang lain, tetapi untuk diriku sendiri dan keluargaku sahaja.'' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya itu walaupun jauh di sudut hati timbul niat untuk bersedekah.

Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis lantas dia menjadi miskin. Segala harta bendanya dirampas dan hidupnya tinggal sehelai-sepinggang. Tidak tahan dengan kehidupannya yang daif itu, lalu dia terus menceraikan isterinya yang cantik kerana tidak mahu isterinya hidup menderita sepertinya. Setahun kemudian, isterinya telah berkahwin dengan lelaki lain,

Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya menghadap makanan, tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu rumah mereka sambil meminta belas kasihan. Mendengar rayuan pengemis itu, si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi berlaukkan sepertimana yang mereka makan. Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis, si isteri menutup mukanya sambil menangis teresak-esak.

Setelah puas dipujuk oleh suami yang baik hati, si isteri mengadu bahawa pengemis tersebut adalah bekas suaminya. Dia telah menceritakan bahawa dahulu bekas suaminya itu pernah menengking seorang pengemis yang meminta sesuap nasi di rumah mereka sewaktu kehidupan mereka kaya-raya. Si suami yang baru itu menjawab dengan tenang, ''Demi Allah, akulah pengemis yang dihalau dan ditengking itu,''. Si  isteri terkejut sambil mengakui kebesaran dan janji Allah SWT terhadap hamba-hambaNYA adalah benar belaka.
Anas Malik pula meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW ada bersabda yang bermaksud:


''Barang siapa mempunyai harta maka bersedekahlah dia dengan kekayaanmu. Barangsiapa yang mempunyai ilmu, maka sedekahlah dengan ilmunya dan barang siapa yang mempunyai tenaga bersedekahlah dengan tenaganya.''
Rasulullah SAW bersabda:

''Sedekah itu dapat menutup 70 000 kejahatan''

  

No comments:

Post a Comment